Bersihnya...



Alhamdulillah, setelah ditegur oleh banat, Marsha tentang tahap kebersihan kawasan banin, terbuka hati mereka untuk membersihkan kawasan mereka. Katanya, apa pandangan orang lain kalau tengok kelas ni? Kita kan orang Islam, seharusnya mengambil berat tentang kebersihan.

Terus banin angkat kerusi, menyapu, kemas barang-barang dalam meja dan atas rak kasut. Kedengaran riuh-rendah suara banin. Sekejap-sekejap pergi dekat kipas. Tak apalah kan, sekurang-kurangnya kali ini mereka bekerjasama mengemas kawasan mereka. Tidaklah banat sahaja buat kerja kan.

"First time tahun ni, banin bersungguh-sungguh, bekerjasama kemas kawasan banin."
"Harap-harap berkekalan."
"Ameen.."

Rehat...

Tengok hasilnya bila masuk kelas semula. Memang bersih, cuma barang sahaja yang kurang teratur. Marsha pun suruh Syaza jaga, kalau banin dah datang, beritahu. Sementara itu, Marsha dan Robiatul menyusun kerusi dan mengemas barang-barang atas meja banin sehingga menjadi begini....

selepas barang diatur oleh banat

kan best nak belajar tu

Bila tempat banin dah bersih, tempat banat pula nampak macam tak berapa nak kemas. Banat semua, "Alamak, tempat banat pun kena kemas semulalah." (-_-")

Banin, teruskan amalan ini ya!



13 Sya'aban 1431 H

Kisah Paderi dan Pengembala Kambing


Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam.

Suatu hari datang seorang paderi kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Paderi itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh paderi itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam. Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat.

Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati, raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan paderi kristian.

Bermulalah soalan, paderi menunjukkan 1 jari kepada hadirin. Gembala kambing pula menunjukkan 2 jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul!

Paderi menunjukkan 2 jari pula dan gembala kambing menunjukkan 5 jari, jawapannya juga betul.

Kemudian, paderi menunjukkan 5 jari, gembala kambing menunjukkan 6 jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Paderi yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi...

Lalu paderi tersenyum puas hati. Paderi mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu paderi menepuk tangan.

Paderi kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul...

Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Paderi itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara paderi dan gembala kambing. Paderi pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk 1 jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilaha illallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, 2 jari. Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)."

"Hamba tunjukkan 2 jari, bermakna adakah rukun islam ada 2? Gembala kambing memberi jawapan, 5. Betullah... Bila hamba tunjukkan 5 jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan 6 jari, sebab rukun iman ada 6."

"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya"

Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut. Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...

"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu. Dia tunjuk 1 jari, maknanya dia nak kambing hamba 1. Jadi hamba menjawab, 2 pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk 2 maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab 5 pun boleh. Kemudian dia tunjuk 5, maknanya takkan 5 je...? Oklah hamba boleh bagi 6 pada dia."

"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba. Hamba pun tunjuklah penumbuk. Lepas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba. Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak! Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu...walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut.

Sungguh besar keagungan Tuhan... walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela.

9 Sya'aban 1431 H

MaUTaDi 2 Datang Lagi...


Photo by Bi'ah

Pengenalan Program MaUTaDi

Ps. Doakan kejayaan program ini! Wamakaru wamakarallah innallaha khairul maakiriin..

3 Sya'aban 1431 H

Kenapa Tudung Labuh?


Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha, penulis novel Seindah Mawar Berduri dan Musafir Syabab Kasih, menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”

Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.


Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah


Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
.............................................


Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung labuh sebagai jumud, saya protes.

Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.

Kenapa saya melabuhkan tudung?

Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.

Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'

Tudung Sebagai Pelindung

Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.

Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia banyak menyelamatkan saya.

Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.

Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara, saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!

Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat

Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai manusia sedang berdiri.

Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.

Tudung Labuh Sebagai Warden

Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah sekali pun.

Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.

Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian auratnya.

Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.

26 Rejab 1431 H

Anti-Hadith


* post ni dicopy daripada sempai (senior) kami..boleh terus ke laman beliau. M I Ghariib


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Satu kisah pengalaman yang dikongsi oleh seorang Ustaz.

Dalam satu kursus, Ustaz ini diajukan soalan oleh seorang wanita.
"Assalamualaikum Ustaz."
"Waalaikumussalam."

"Ustaz, saya solat senang saja Ustaz!"
"Macam mana tu?"
"Saya solat, menghadap kiblat, kemudian rukuk, lepas tu sujud. Habis."
"Habis tu baca apa?"
"Tak payah baca apa-apa. Lepas tu, saya solat tiga waktu je Ustaz."

"Masya-Allah, mana sah solat begitu?"
"Saya ikut Quran Ustaz. Dalam Quran kata, solat menghadap kiblat, rukuk dan sujud sahaja. Tiga waktu je yang Quran sebut. Mana ada Quran suruh baca apa-apa dalam solat."

"La ilaha illallah, kita kena ikut hadith sekali, macam mana Rasulullah buat!"
"Hadith kan susah kita nak tahu sahih tak sahih Ustaz, kalau kita pegang dengan Quran cukuplah Ustaz, Quran tu kan kalamullah, cukuplah al-Quran sahaja. Kita nak beramal kena ada dalil sahih."

Tahulah Ustaz itu dia sedang bercakap dengan salah seorang golongan anti-Hadith. Panjang juga Ustaz itu terdiam.
"Okeylah, Cik, beginilah."
"Apa dia Ustaz?"
"Bila Cik meninggal nanti, Cik minta, jenazah Cik, tak payah diurus, tak payah disolat, tak payah dikebumi. Sebab mana ada ayat Quran cerita cara urus mayat."
Ustaz itu tersenyum puas melihat ekspresi hamba Allah yang bertanya itu.

Penulis sudah lama mendengar tentang golongan anti-Hadith ini sejak sekian lama, tapi baru-baru ini penulis terjumpa sebuah buku yang ayah penulis dapatkan dari sahabatnya. Rupa-rupanya buku yang diguna golongan anti-Hadith. Nampak macam ilmiah, dengan hujahnya, disokong dengan kajiannya, dengan teori yang bukan calang-calang, Bahasa Inggeris lagi, tetapi bila ia menyokong idea yang batil, maka batillah ia.

Risau penulis memikirkan masyarakat kita yang cetek pengetahuan agama. Sedang tujuan hidup di muka Bumi pun ramai tak tahu, inikan pula disua dengan hujah-hujah yang nampak macam bijak padahal memperbodohkan.

Okey, cuba fikirkan. Tahukah anda, yang Bulan tercipta dari keju? Apa? Tak mungkin? Apa bukti anda kata yang Bulan itu tidak diperbuat daripada keju? Ada bukti saintifik? Apa? Manusia pernah ke Bulan? Semua orang tahu misi Apollo tu penipuan Amerika Syarikat. Mereka sembunyikan fakta ini agar pengetahuan sains yang mereka percaya selama ini tidak diperbodohkan. Ia satu konspirasi. Malah, perbandingan foto menunjukkan persamaan menakjubkan antara keju yang berlubang-lubang dengan permukaan Bulan. Jumlah albedo (tahap pemantulan cahaya) juga sama, iaitu 0.39, membuktikan yang Bulan itu terdiri daripada keju Parmesan. Warna keputihan itu pula akibat terdedah dalam suasana vakum selama berbillion tahun.

Nah, anda faham? Jika anda jahil, rasa-rasanya hujah di atas meyakinkan tidak? Mungkin anda akan mengatakan mungkin juga Bulan itu terdiri daripada keju. Ini satu perenggan. Jika sebuah buku?

Itulah serangan pemikiran.

Berbalik kepada soal anti-Hadith di atas, jika Hadith tidak dijadikan sumber panduan, apa gunanya Rasulullah diutuskan?

Apa gunanya Imam Bukhari mengumpul hadith, di mana sebelum hadith itu diiktirafnya sebagai hadith sahih mutawatir,

beliau memastikan hadith itu diriwayatkan sekurang-kurangnya 3 orang sahabat,

diriwayatkan dari setiap sahabat, sekurang-kurangnya perlu 3 orang tabi'in setiap sahabat,

yang mana para tabi'in ini tidak saling bertemu antara satu sama lain,

dan dari setiap tabi'in perlu ada sekurang-kurangnya 3 orang tabi' tabi'in yang meriwayatkannya,

di mana kesemua 39 orang yang disebutkan (sahabat, tabi'in, tabi'tabi'in) semuanya boleh dipercayai, tidak pernah berbohong dalam meriwayatkan hadith.

Perbuatan dalam solat juga disebut dalam hadith, seperti mana yang dilakukan Rasul SAW, disaksikan oleh para sahabat, dan direkodkan dalam puluhan, bahkan ratusan hadith secara terperinci. Tetapi hal ini dipertikai mereka yang jahil tanpa bukti. Maka jauhlah mereka daripada cara rasul SAW. Kalau mereka kata hadith-hadith tak boleh dipercayai, habis Rasul SAW solat macam mana? 3 waktu sehari? Rukuk sujud sahaja?

Kalau tidak, adakah mereka mendakwa diri mereka lebih betul daripada Rasul SAW?

Inilah hakikat ramai dalam masyarakat kita yang masih cetek ilmu agama tetapi apabila mendengar idea baru yang sensasi, terus mengikut tanpa ilmu atau dalil yang benar. Kemudian merasakan diri mereka benar dan orang lain salah. Pada hal niat sebenar ialah mengikut nafsu dan mencari jalan pintas.

Kalau tidak masakan dakwaan sekarut 'Rasul Melayu' dan 'Kerajaan Langit Ayah Pin' menjadi ikutan ribuan mereka yang mengaku Islam?

Penipuan yang bodoh, jerat yang bodoh, akan menjerat pelanduk yang bodoh. Yang terang lagi bersuluh akan dilanggar oleh yang buta. Itulah sunnatullah.

Maka siapakah yang akan mengambil tanggungjawab mencelikkan ribuan zombi yang buta ini? Sedang yang celik sibuk berbalah mangga atau mempelam, telur atau ayam dulu, maka yang buta terus-menerus ditimpa satu-demi satu kecelakaan sambil meraba-raba.

"Sesungguhnya telah Allah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika mana Dia membangkitkan di kalangan mereka seorang Rasul yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan menyucikan (jiwa) mereka dan mengajar mereka (mengenai) kitab dan hikmah, sedangkan sebelumnya mereka dalam kesesatan yang nyata." (Quran, ali-Imran, 3:164)

sumber: Muhammad I Ghariib

20 Rejab 1431 H
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 20009-2012 Seventh Generation: July 2010
Design by aisyah ameelah ghariib