Kenapa Susah Sangat Kita Solat Subuh Berjemaah?


Cuba renung kembali hidup kita hari ini daripada mula bangun tidur pagi tadi. Apakah kita mulakan hidup pada awal pagi dengan berzikir, berwudhuk dan melangkah ke masjid atau surau untuk menunaikan solat subuh berjemaah dengan manusia lain - atau kita bangun pagi lepas waktu subuh dah masuk dan kemudiannya solat subuh seorang diri?

Lihat pula semalam dan kelmarin, seluruh minggu, sepanjang hari dalam sebulan dan sepanjang tahun. Bilakah dan berapa kalikah kita solat subuh berjemaah di masjid?

Kalau kita jarang atau tak pernah solat subuh berjemaah, sekurang-kurangnya punca masalah ini adalah masalah pada diri kita; yakni malas.

Sementara masalah terbesar yang menjadikan seseorang itu jarang atau tak pernah solat subuh berjemaah ialah kerana adanya sifat nifaq. Inilah yang terjadi kepada orang-orang munafiq pada zaman Rasulullah SAW dan pada zaman berikutnya.

Ya, moga-moga kita bukan munafiq tetapi hanya malas.

Pada zaman Rasulullah, orang munafiq memang payah nak bersolat berjemaah Subuh dan Isyak. Demikianlah yang tersebut dalam hadis:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka."
(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0610)

Sikap malas bangun awal pagi sebelum subuh sehingga terlepas solat subuh berjemaah berlaku kerana pelbagai sebab. Berikut antara sebab-sebabnya:

1. Tak mahu ikut jadual waktu yang Allah tetapkan. Contohnya, walaupun subuh masuk pukul 5.40 pagi, kita tetap hanya akan bangun pada pukul 6.00 pagi kerana itu jadual bangun pagi kita.

2. Terbiasa bangun lepas masuk subuh daripada kecil lagi. Setelah remaja, dewasa dan tua, payah juga nak buang tabiat ini, ditambah lagi orang lain pun sama sahaja. Buktinya, jumlah mereka yang hadir solat subuh berjemaah di masjid boleh dibilang dengan jari.

3. Tidak ada pun niat dan azam untuk bangun awal pagi dan solat subuh berjemaah. Tak ada pun dalam agenda harian. Tak rasa bersalah pun. Tak peduli pun. Slogan tersiratnya ialah "what a big deal"?

4. Tidur lewat malam. Tak kira sama ada kerana bergebang di kedai kopi, menonton TV, berborak, berinternet dan sebagainya. Tidur lewat maka payahlah nak bangun pagi awal-awal sebelum subuh.

5. Takut mengantuk masa kerja kalau bangun awal sangat, takut sangat terkurang tempoh masa tidur sampai rela lepaskan solat subuh berjemaah di masjid.

6. Ada yang memegang prinsip "yang penting aku dah solat subuh walaupun seorang diri".

7. Tak tahu pun solat subuh berjemaah di masjid tu amat besar pahalanya.

8. Kalau tahu pun solat subuh berjemaah di masjid tu amat besar pahalanya, tak kuat pula hati membenarkan balasan pahalanya.

9. Tidak ada dalam hatinya menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan kecuali sekadar beriman. Ertinya orang ini sebenarnya tak berapa kenal Rasulullah SAW kerana tidak pernah serius ambil tahu pasal Baginda.

10. Tak besungguh nak bangun subuh. Tak tetapkan pun alarm telefon atau jam supaya mudah bangun sebelum subuh.

11. Tak takut berperangai sama seperti orang-orang munafiq zaman Rasulullah SAW yang sukar nak datang solat subuh dan isyak berjemaah.

Kepada mereka yang gemar tidur lewat malam, eloklah merenung hadis berikut:

Dari Sayyar bin Salamah r.a., katanya:
"Dan beliau (Rasulullah SAW) tidak menyukai tidur sebelum solat Isyak , dan bercakap-cakap sesudahnya."
(Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0309.)


27 Jamadil Akhir 1432 H
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 20009-2012 Seventh Generation: May 2011
Design by aisyah ameelah ghariib