Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tips Menghafal al-Quran


Assalamualaikum W.B.T.

InsyaAllah, pada kali ini ana ingin berkongsi beberapa tips menghafal Al-Quran. Ada orang minta kongsi. Ini pun yang ana dapat daripada ustazah ana. Banyak sebenarnya, mungkin akan dipost secara berterusan, dari masa ke masa. Kiranya macam bersirilah :D

Seperti biasa, perkara pertama, kita perlu ada niat, iradah (kemahuan) dan qasad (tujuan) untuk menghafal Al-Quran. Bila kita jelas matlamat kita, insyaAllah semua menjadi mudah. Bukankan Islam melatih umatnya untuk melakukan sesuatu secara terancang? Apa hikmah niat sebenarnya?

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." [Hadis 1]

Apabila kita pasang niat untuk buat sesuatu perkara, kita akan lebih fokus untuk mencapai objektif. Kewujudan niat juga akan meransang kesungguhan dan mendorong sikap berhati-hati. InsyaAllah, bila kita ada niat soleh atau niat yang baik, lillahi taala, kita tidak akan mudah mengalah dan mempunyai keazaman yang tinggi.

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." [Q:28:77]

Maksudnya, kita perlu gunakan ilmu untuk merebut kebahagiaan akhirat. Dengan adanya kesatuan matlamat, akan lahirlah individu muslim yang gigih cipta kejayaan. Genggam dunia untuk memenangi akhirat~

Secara ringkasnya, sebelum menghafal, perlu ada azam dan minat. Menghafal pada waktu dan tempat yang sesuai. Dalam erti kata lain, cari waktu yang di mana kita mudah menghafal. Sebagai contoh, jika dia mudah menghafal pada waktu Subuh, hafallah pada waktu itu.

Di samping itu, adakan mashaf khas. Gunakan hanya satu mashaf sahaja untuk menghafal. Hafal ketika kita berada dalam keadaan tenang dan kosongkan fikiran.

Antara teknik menghafal, kita kena fokus dan recall hafazan. Sentiasa i'adah atau ulang hafazan. Boleh juga gunakan kaedah chunking atau potong. Maksudnya, kalau ayat panjang, potonglah atau berhentilah di beberapa tempat. Adakan partnership, kita tasmi' hafazan dia, dia tasmi' hafazan kita. Dengar cassette alunan ayat suci al-Quran. Dan yang terakhir, tulis semula ayat-ayat yang kita hafal.

*Teringat masa darjah 1, pernah guna kaedah menulis ni. Bila buat macam tu, macam secara automatik terus ingat ayat tu. Allah bagi ilham, muallimah takde suruh pun :D

Antara cara mengekalkan hafazan (buat point je lah ye, lain kali ana hurai):
  1. Jauhi maksiat
  2. Doa
  3. Solat
  4. Istiqamah
  5. Tasmi' pagi, I'adah atau ulangan pada petang/malam.
  6. Jangan baca ketika sedang bosan/ marah/ mengantuk.

Sebagai renungan kita bersama~

Bila bertanya kepada seorang akhawat yang merupakan antara pimpinan penggerak di sana (Palestin),
"Apa yang kamu buat daripada mula kamu bergerak?"

Jawabnya,
"Kami mula mendidik generasi kami seawal umur 5 tahun dengan menghafal al-Quran, setiap hari satu jam, dan bukan sahaja kanak-kanak yang disuruh menghafal al-Quran, malah semua peringkat umur, yang kecil, remaja, dewasa, hatta nenek sekalipun, kami lazimi dengan menghafal al-Quran..."

-Ustazah Rosmawati Abdul Wahab, peserta AQSA2GAZA4-

Kalau rasa tak mampu sangat, sekurang-kurangnya satu hari hafal 3 baris pun dah cukup. Dalam seminggu, 5 hari hafal ayat baru, 2 hari lagi buat ulangan. Dah dapat 1 muka seminggu. Kalau istiqamah, satu tahun dah dapat sekurang-kurangnya 2 juzu'. 15 tahun, habislah satu Quran.


#Best belajar subjek Dakwah Islamiyah tadi. Sebab semua dah dapat masa LKD, adalah beberapa tambahan. Cumanya, kali ini dalam bahasa Arab.

Mode: Siapkan assignment dalam BA.

8 Sya'ban 1433H

Matematik


Assalamualaikum W.B.T.

InsyaAllah, ini dia tazkirah yang dikongsikan oleh seorang ukhti selaku guru matematik moden dan add math.
*Rasa nak menulis ni lagi payah daripada menerangkan dengan tutur kata
* Ada unsur tokok tambah

Sekiranya kita meneliti nama-nama Allah, ada dua namaNya yang membawa makna Yang Maha Penghitung. Iaitu? Al-Hasib dan Al-Muhsi.

Kerja Tersusun
Pertama sekali, kita perlu ada asas sebelum menjawab soalan matematik. FORMAT itu penting untuk menyelesaikan sesuatu soalan. Kena selesaikan satu persatu, mana boleh terus tulis jawapan.

Agak-agaknya kenapa Allah ciptakan malaikat? Sedangkan Allah boleh buat semua benda yang malaikat buat. Begitu juga penciptaan langit dan bumi, Allah cipta sampai berhari-hari. Walhal kalau Allah kata jadi, maka jadilah sesuatu itu.

Ini juga merupakan tarbiyyah daripada Allah. Allah nak ajar kita agar buat kerja dengan tersusun dan sistematik. Sebab itu kalau nak buat apa-apa program atau dalam sesuatu persatuan atau pertubuhan adanya organisasi.

Rujuk semula 10 Muwassofat Tarbiyyah. Susun jadual hidup, mempunyai wawasan sama ada untuk jangka masa panjang atau jangka masa pendek.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal- amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan." [Q:59:18]


Berhati-hati
Soalan matematik kadang-kadang ada muslihatnya. Diputar belitkan soalannya yang mampu menyebabkan membuat si penjawab keliru atau cuai.

Contohnya soalan 2(x+3)2. Kena expand dulu. Mungkin ada yang akan terus selesaikan square menjadi 2(x2+9). Inilah kesan tidak berhati-hati.

InsyaAllah, bila kita berhati-hati ketika hendak menyelesaikan soalan, segala kilah yang dikemukakan mampu kita tepis.


Penyebut/ Denominator
Apa perkara pertama yang akan kita buat kalau jumpa soalan pecahan yang mempunyai penyebut yang berlainan?

Mestilah kita akan samakannya terlebih dahulu. Barulah kita selesaikan mengikut kehendak soalan. Di sini gabungan format itu perlu.

"Kehidupan ini seperti Air Batu Campur. Berwarna-warni, pelbagai aneka dan rasa. Namun apabila digaul dan dicampurkan, dimasukkan ke dalam mulut aaaahhh sungguh enak rasanya, semuanya bersatu menjadi satu." - Pak Cik Salehuddin Dolah, penjual cendol di Taman Setia Murni semenjak tujuh belas tahun yang lalu
[APG]

Nak buat sesuatu perlu ada kerjasama. Untuk bekerjasama, kita perlu ada matlamat atau asas yang sama.

Dalam erti kata lain, kita mesti mempunyai FIKRAH yang sama~


Percanggahan Simbol
Dalam matematik, ada pelbagai simbol yang bertentangan atau berlawanan. Tambah vs tolak. Darab vs bahagi. Sungguhpun begitu, hakikatnya masing-masing saling memerlukan antara satu dengan yang lain.

Samalah seperti hidup kita. Memang Allah telah menciptakan setiap manusia itu berbeza. Seronokkah anda rasa jika semua orang mempunyai sifat yang sama, kegemaran yang sama, pemikiran yang sama dll? Semuanya sama? Tiada warna warni lah dalam kehidupan. Umpama robot. Walaupun ada pelanduk dua serupa sekalipun, sifat mereka tetap berbeza kan?

Ada indahnya bila manusia diciptakan berbeza. Semua ada peranan mereka masing-masing. Barulah saling melengkapi.


Unknown (Algebra)
Bila jumpa soalan unknown, mesti kita rasa nak tahu apa nilai unknown yang sebenar. Unknown diumpamakan sebagai masalah yang perlu kita selesaikan.

"Jika seseorang itu tidak mengenali dirinya dengan tepat, maka dia hanya akan menimbulkan masalah ketika berinteraksi dengan sesiapapun."

Di sini juga kita boleh dapati bahawa kita amat memerlukan ilmu untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

"Tidak ada masalah dengan masalah, yang menjadi masalah adalah cara kita yang salah dalam menangani masalah."

Tambah ilmu, tambah amal, nescaya bertambahlah iman kita.^^


Practice Makes Perfect
Mana yang lebih baik, orang itu bila diajar terus faham tetapi tak buat latihan atau orang itu pada awalnya dia tak faham, tetapi dia sentiasa membuat latihan walaupun setelah dia faham?

Sudah tentulah kita katakan orang yang kedua lebih baik kerana sentiasa membuat latihan.

Mungkin orang yang pertama dia faham pada awal sahaja. Namun disebabkan tiada latihan sebagai pengukuhan kepada pemahaman dia, akhirnya dia..... Sedar ataupun tidak, soalan matematik ada pelbagai corak. Bila kita sentiasa buat, lain kali bila kita tengok je soalan, terus dah tahu apa yang soalan itu kehendaki.

Semua ilmu yang kita pelajari bukan sekadar untuk tahu. Sebaliknya ilmu adalah sesuatu yang perlu diamalkan.

Boleh lihat semula 10 rukun baiah. Rukun yang ke-3 adalah AMAL:
Petugas hendaklah bekerja dan melaksanakan kefahamannya serta merealisasikannya sebaik mungkin. Amal di sini meliputi pengelokan diri, pembentukan rumahtangga Muslim, pendidikan masyarakat, pembebasan tanah air, pengislahan pemerintahan dan mengembalikan kedaulatan Islam di peringkat antarabangsa sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu keseluruhannya bagi Allah.

"Dan perangi mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan jadilah al-din (agama) seluruhnya untuk Allah semata-mata. Maka jika mereka berhenti (daripada kekafiran), sesungguhnya Allah adalah al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa yang mereka kerjakan." [Q:8:39]

Kita tidak duduk dalam daurah ini untuk menambahkan ilmu-ilmu dalam kepala, bukan juga untuk menambah koleksi-koleksi nota tarbiyyah kita, tapi kita ada perkara yang sangat besar dihadapan kita iaitu mengamalkan apa-apa yang telah kita dapat dari daurah ini. Kita perlu menjadi asset yang bukan sekadar dibina dalam tarbiyyah, bahkan kita menghidupi tarbiyyah di mana-mana kita berada.

-Kak Izyana-Batch1 LKD-

Sebaik-baik teman ialah teman yang membantu anda kenal kelemahan anda dan membantu anda membaikinya, sementara jika dia ada kelemahan, anda membantu dia membaikinya.

Sebaik-baik guru ialah guru yang membantu anda kenal kelemahan anda dan membantu anda membaikinya, sementara jika dia ada kelemahan, anda membantu dia membaikinya.

Sebaik-baik keluarga ialah keluarga yang membantu anda kenal kelemahan anda dan membantu anda membaikinya, sementara jika mereka ada kelemahan, anda membantu mereka membaikinya.

Sebaik-baik musuh ialah musuh yang membantu anda kenal kelemahan anda dan membantu anda membaikinya.

Agama itu nasihat. Tiada nasihat, hancurlah agama.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan kelemahan anda, dan akan menguji anda dengan kelemahan-kelemahan anda, kerana Dia ingin membantu anda membaikinya!

Dakwah bukan sekadar memupuk 'tahu', tapi memupuk 'mahu'.

-Muhammad Eirfan-Batch1 LKD-

#Mood: mahu terus menghidupkan blog ini

bangunkan 3 kekuatan ..


Rabi'ul Awal 1433 H

Rasulullah SAW ada bersabda:

“ Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari pada mukmin yang lemah dalam setiap amal kebaikan “ (Diriwayatkan oleh Muslim)

Alhamdulillah, itulah panduan kita sebagai pemuda muslim, membina dan memiliki kekuatan agar menjadi lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT. Apa yang perlu diperkuatkan oleh kita? Kata Syeikh Yusof Qardhawi sekurang-kurang ada 3 perkara yang perlu kita perkuatkan.

  • Iman Yang Mendalam

Pertama, Iman. Iman merupakan sinergi antara tasdiqun bil qalbi, iqrarun bil lisan dan ‘amalun bil arqan. Inilah iman yang benar, sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menghunjam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap saat memberikan buahnya yang lazat untuk manusia dan makhluk sekelilingnya.

Menurut Syed Qutb, orang yang memiliki iman yang kuat hanyalah orang-orang yang tidak menjadi hamba-sahaya dari siapapun selain Allah, dan tidak mengikuti siapapun kecuali RasulNya. Generasi beriman ini hanyalah orang yang dengan setulus hati percaya bahawa ajaran Allah dan RasulNya adalah kebenaran yang mutlak, dan apa pun yang bertentangan dengannya adalah sesat, dan apa pun yang baik bagi manusia dalam hidup di dunia ini mahupun di akhirat nanti seluruhnya telah terkandung dalam ajaran-ajaran Allah dan UtusanNya. Seseorang yang beriman sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran ini adalah orang yang selalu mencari petunjuk dari ajaran Allah dan RasulNya dalam setiap langkah-hidupnya dan yang menyangkut masalah yang dihadapinya, dan setelah mengetahui ajaran tersebut, lalu mengikutinya. Inilah yang dikatakan jiwa yang kuat imannya.



Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin siapa yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus. Dan mereka berkata:’Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami menta’ati (keduanya)’ Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya, agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian di antara mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit, atau(kerana) mereka ragu-ragu, ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila mereka di-panggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar, dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (an-Nur: 46-52).

  • Akhlak Yang Ampuh

Keduanya kekuatan akhlak. Akhlak merupakan buah kepada keimanan. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang memiliki kekuatan iman akan terlebih dahulu memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang yang mulia. Rasulullah SAW sendiri sebagai model terbaik kita menjadi teladan ditengah-tengah para sahabat.

“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (al-Qalam: 4)

Rasulullah mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Abu Bakar menyusul pula sebagai penerus perjuangan risalah Rasulullah SAW, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Dan semua kepimpinan Islam dan para ulama terdahulu memiliki kekuatan akhlak yang luarbiasa. Kini giliran kita mempersiapkan diri dengan kekuatan akhlak agar umat ini mampu memimpin kembali tamadun manusia.

Memperindahkan akhlak memberi kesan besar kepada masa depan kita di dunia dan di akhirat. Bahkan ianya memberi pulangan lumayan kepada empunya diri. Pertama, akhlak yang baik akan meningkatkan darjat. Dari Anas, Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya seorang hamba mencapai darjat yang tinggi di hari akhirat dan kedudukan yang mulia kerana akhlaknya baik walaupun ia lemah dalam ibadah.” (HR. Thabrani)

Kedua, akhlak yang baik adalah ukuran keimanan. Rasulullah SAW bersabda:

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya; yang lemah lembut tidak pernah menyakiti orang. Seorang manusia tidak akan mencapai hakikat iman sebelum dia mencintai orang lain seperti ia mencintai dirinya sendiri dan sebelum tetangganya aman dari gangguannya.”
  • Kekuatan Ilmu Agama

Kekuatan ketiga menurut Syeikh Yusof Qhardhawi ialah kekuatan ilmu pengetahuan agama. Maka kita harus kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Pemuda Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan agama dan tidak memahami misi dan visi Al Quran dan perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang remeh dengan sebelah mata oleh musuh-musuh Islam, bahkan dia tidak akan mampu mempersembahkan Islam dalam bentuk yang syumul, lengkap dan tepat. Kefahaman dirinya terhadap Islam juga akan pincang dan lemah.

Menurut Syeikh Yusuf Qardawi, ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara. Kebanyakan pemuda Islam hari ini semakin longgar ikatan mereka dengan Islam, ada yang tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak tahu membaca al-Fatihah, tidak menutup aurat, minum arak, berzina, dan sebagainya yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT, akibat tidak memperdalami ataupun duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Maka merekalah sasaran kita, bagaimana mungkin kita mampu untuk memperkata sesuatu mengenai agama bagi menasihatkan mereka jika kita sendiri tidak menguasai ilmu-ilmu agama. Malah yang bukan Islam juga semakin menunjukkan minat untuk tahu, apakah sebenarnya Islam, adakah ia satu agama yang menyuruh penganutnya supaya bertindak ganas, ataupun agama yang mendidik mereka ke jalan kebenaran dan memberikan ketenangan yang hakiki kepada mereka. InsyaAllah dengan usaha tekad dan serius kita untuk mempertingkatkan ilmu agama kita, ianya akan memberikan kebaikan kepada kita. Allah SWT berfirman:

“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” (QS. Al-Mujadilah: 11)

Dan sebaliknya orang yang jahil akan ilmu agama-Nya disebutkan oleh Allah sebagai seorang yang buta yang tidak dapat melihat kebenaran dan kebaikan. Allah SWT berfirman,

“Apakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu adalah al-haq (kebenaran) sama dengan orang yang buta? (tidak mengetahui al-haq).” (Ar-Ra’d: 19)

“Katakanlah (ya Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)?.” (Az-Zumar: 9)

Semoga kita berusaha menguatkan kefahaman kita dengan ilmu agama, samada ilmu fardhu ain, kifayah, al Quran, Hadis, tauhid, serah dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memahamkan ilmu agama kepadanya.” (HR. Bukhari dan Muslim).


---------------------------------
ayuh,
bangunkan 3 kekuatan ini ..
moga diri trus kuat
dan terus berkualiti hingga keahirnya :]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Copyright © 20009-2012 Seventh Generation: motivasi
Design by aisyah ameelah ghariib