Adab-adab Dalam Majlis



Adab atau akhlak melambangkan peribadi seseorang itu. Jadi, kita hendaklah melakukan apa yang disukai orang lain yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sebenarnya, akhlak itu adalah cerminan dari hati. Apabila hati seseorang itu baik, maka baiklah tubuh badannya. Hati yang bersih mampu memberikan kekuatan rohani sebagai benteng yang kuat.

Di sini, ada juga adab-adabnya yang perlu kita patuhi. Antaranya ialah berwudhu'. Kita berwudhu' untuk menyucikan diri kita, dengan harapan dapat mendengar dan memberi tumpuan yang baik semasa di dalam majlis. Di samping itu, kita turut mendapat pahala sunnah. Kemudian, berdoa. Terpulanglah kepada kita, apa yang kita ingin minta daripada Allah. Paling kurang pun, kita baca doa buka majlis dan tutup majlis.

Seterusnya, kita hendaklah mengikhlaskan niat kita hadir ke dalam majlis ilmu tersebut. InsyaAllah, apabila kita ikhlas, kita akan lebih mudah mengingat segala apa yang terkandung dalam majlis ilmu itu. Apabila kita tak ikhlas, kita akan menjadi tidak berminat untuk mendengar apa yang dibentangkan dan akhirnya menjadi ejen-ejen syaitan..wana'uzubillahi min zalik.. Apa yang dimaksudkan di sini, ialah kita mendorong sahabat kita melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dalam majlis atau mengganggu sahabat kita yang lain. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, lebih baik jangan duduk dengan kawan rapat kita. Namun, sekiranya sahabat kita itu, bukan jenis yang suka mengganggu majlis, tidak mengapa.

Selain itu, kita hendaklah merapatkan majlis dan duduk di barisan hadapan. Duduk di barisan hadapan, lebih besar pahalanya berbanding barisan belakang. Banyak fadhilatnya duduk depan termasuklah dapat memberikan tumpuan dengan baik. Di samping itu, dalam majlis seperti usrah, duduk dalam halaqah, janganlah kita membelakangi orang lain. Ini adalah perkara yang tidak disukai orang dan memungkinkan kita mendapat dosa pula. Haruslah kita ingat bahawa dalam majlis juga, ada hak-hak orang lain yang perlu kita hormati.

Sehubungan dengan itu, janganlah kita jadikan kebiasaan untuk mencelah atau menyampuk apabila orang sedang memberi pembentangan. Hal ini akan melambangkan sikap kita yang tidak tahu menghormati majlis dan dianggap tidak sopan. Afdhal bagi kita untuk menghadap qiblat ketika dalam majlis. Tidak perlulah ana huraikan lebih panjang untuk isi ini.

Jangan duduk di antara dua orang yang sedang berbual. Apabila orang bercakap di hadapan, janganlah kita bercakap di belakang, bergelak ketawa, mengejek pembentang dan sebagainya. Walaupun pembentang itu, mungkin seorang yang baik, lemah lembut, tetapi, janganlah mengambil kesempatan atas kebaikannya. Kalau kita nak lakukan sesuatu perkara yang buruk, cuba fikir, cuba letakkan diri kita pada orang lain. Contohnya, kita suka ke, kalau kita bentang di hadapan, orang bercakap, bergelak ketawa, bergurau senda dan macam-macam lagi agenda yang dilakukan oleh orang lain di belakang. Apa perasaan kita? Apatah lagi, ini adalah majlis ilmu. Orang bercakap tentang perkara yang membina kekuatan roh kita, cakap pasal ayat quran, hadis, tapi kita main-main. Tak boleh...

Bagaimana mahu menjadi insan yang baik, soleh wa musleh? Kita kaitkan 6 rukun iman itu dengan diri kita.
  1. Beriman kepada Allah; akan melahirkan manusia yang bersifat muraqabah yakni menyedari bahawa Allah sentiasa melihat dan memerhatikan kita, ada bersama kita.
  2. Malaikat; menyebabkan kita sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dan berlumba-lumba melakukan kebaikan untuk dicatat.
  3. Kitab; sumber hukum kita untuk melakukan amal di muka bumi ini.
  4. Rasul; panduan kita yang telah mengajar lebih lanjut tentang Islam kepada manusia.
  5. Hari Qiamat; hari pembalasan yang mana semua nama-nama Allah akan digunakan pada hari tersebut.
  6. Qada' dan Qadar; tidak berserah kepada nasib semata-mata tanpa berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Jadi, muhasabah balik diri kita. Senang sahaja sebenarnya mahu mendapatkan pahala. Lakukan apa yang Allah suruh, tinggalkan apa yang dilarang.

Sebahagian daripada hadis daripada Abu Hurairah;
Dari Nabi saw., baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki banyak malaikat yang selalu mengadakan perjalanan yang jumlahnya melebihi malaikat pencatat amal, mereka sentiasa mencari majlis-majlis zikir (mengingati Allah). Apabila mereka mendapati satu majlis zikir, maka mereka akan ikut duduk bersama mereka dan mengelilingi dengan sayap-sayapnya hingga memenuhi jarak antara mereka dengan langit dunia."

Wassalam

6 Safar 1431 H

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Copyright © 20009-2012 Seventh Generation: Adab-adab Dalam Majlis
Design by aisyah ameelah ghariib