28 Rabi'ul Awal 1433 H
Sebelum disapa sinar iman
Kau bagaikan singa yang mengganas
Membunuh anak perempuanmu
Tanpa belas dan kasihan
Dipandu hati sekeras batu
Jahiliah yang menyesatkan
Bila nur Al-Quran menusuk jiwa
Lunturlah segala keangkuhanmu
Berubah dan beralih arahmu
Terbentur segala kekejaman
Menjadi wira miskin nestapa
Membela yang tak berupaya
Tidurmu di rimbunan tamar
Tenangmu tiada tercalar
Berbantal lengan tanpa pengawal
Berselimut embun keimanan
Di malam yang hening
Meratap menyesali diri
Pada dosa kealpaan
Dibasuh dengan air mata
Memohon keampunan Tuhan
Engkau khalifah berjiwa hamba
Mentadbir tanpa singgahsana
Menghina diri di hadapan Allah
Kemuliaan diri manusia
Mulia hidup bersulam taqwa
Mulia matimu kau syuhada
Pergi rohmu ke alam tinggi
Terbang menuju ke syurgawi
Aku hanya seorang umar
Kemuliaanku kerana Islam
Semua ke syurga kecuali dia
Ku bimbangi dialah diriku
Hati sekeras batu
Menjadi selembut air
Jadi teman kebenaran
Jadi musuh pada kebatilan
Saidina Umar ra kerap memegang sehelai jerami dan berkata,
' Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini.'
Kadang-kadang beliau berkata,
'Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!'
Pada suatu ketika, Umar sedang sibuk dengan suatu urusan yang penting. Tiba-tiba datang seorang hamba Allah dengan suatu pengaduan yang berkehendakkan pembetulan. Umar memukul orang itu dengan cemeti di bahagian bahunya. Dia berkata,
'Bila aku duduk hendak menerima pengaduan, engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting, engkau datang menggangguku.'
Tanpa berkata apa-apa, orang itu pun meninggalkan Umar. Sejurus kemudian, dia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil menunjukkan cemeti tadi kepadanya, Umar berkata,
'Pukullah aku sebagai membalas perbuatanku tadi.'
Kata orang itu,
'Aku mengampunimu kerana Allah.'
Kekesalan Umar tidak dapat digambarkan. Dengan cepat, beliau kembali ke rumahnya lalu mengerjakan solat sebanyak dua rakaat. Beliau mengkritik dirinya seperti berikut,
'Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah. Dahulu, kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah dan Dia telah memberikanmu kuasa ke atas hamab-hambanya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan, dia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan kepada Allah?'
Pada suatu malam, Umar sedang meronda di suatu tempat di persekitaran Kota Madinah dengan hambanya, Aslam. Tiba-tiba, kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata,
'Nun di tengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu kafilah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka.'
Setibanya mereka di tempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air. Sambil memberi salam, Umar meminta izin untuk mendekatinya,
'Mengapakah kanak-kanak ini menangis?'
'Kerana mereka lapar.'
'Apa yang ada di dalam cerek itu?'
'Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan bahawa makanan sedang disediakan untuk mereka. Ah, Allah akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku dalam keadaan begini.'
'Semoga Allah mengampuni kamu. Tetapi bagaimanalah Umar hendak mengetahui tentang penderitaanmu?'
'Orang yang menjadi Amir sepatutnya mengetahui keadaan setiap rakyatnya.'
Umar pulang ke kota dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Beliau mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh, beliau berkata kepada Aslam,
'Letakkanlah karung ini ke atas belakangku, Aslam.'
'Tidak, ya Amirul Mukminin! Biarlah aku yang memikulnya.'
'Apa! Adakah engkau yang akan memikul dosaku di hari kiamat nanti? Aku terpaksa memikulnya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini.'
Dengan perasaan serba salah, Aslam meletakkan karung itu di atas belakang Umar. Dengan diikuti oleh Aslam, beliau pun berjalan dengan pantas menuju ke khemah perempuan itu. Beliau memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak ke dalam cerek tadi lalu mengacaunya. Beliau sendiri meniup bara untuk menyalakan api. Aslam berkata,
'Aku lihat asap mengenai janggutnya.'
Sebentar kemudian, makanan itu pun siaplah. Umar sendiri menghidangkannya kepada keluarga miskin itu. Selepas kanak-kanak itu kekenyangan, mereka pun bermain dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu berkata,
'Semoga Allah memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan Khalifah daripada Umar.'
'Apabila kamu datang berjumpa Khalifah, kamu akan menemuiku di sana.'
Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalan pulang, Umar bertanya kepada Aslam,
'Adakah engkau tahu mengapa aku duduk di situ untuk beberapa ketika? Aku ingin melihat mereka bermain-main dan bergelak ketawa kerana kegembiraan setelah melihat mereka menangis kelaparan.'
Menurut riwayat, ketika mengerjakan solat fajar, Umar sering membaca sura Al-kahfi, Thaha dan lain-lain surah yang hampir sama dengan surah itu. Waktu inilah, beliau kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf ke belakang. Pada suatu subuh, ketika membaca surah Yusuf yang bermaksud,
'Hanya aku mengadu kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah.' ( Yusuf : 86)
Beliau menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan bacaannya.
Wahai sahabat-sahabat sekalian, kisah Saidina Umar ra yang dikisahkan di atas sepatutnya menjadi bahan renungan kita bersama. Seperti yang kita maklum, Saidina Umar seorang pahlawan Islam yang begitu terkenal dengan kegagahan dan keberaniannya. Hanya menyebut namanya sahaja, musuh-musuh Islam sudah kecut perut. Tapi, di hadapan Allah dia menangis ketakutan. Di manakah dapat seorang raja yang bersedia menunjukkan belas kasihnya kepada seorang hamba rakyatnya yang hina sepertimana telah ditunjukkan oleh Saidina umar?
Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, pangkat, harta, keturunan dan segala apa yang ada di muka bumi Allah ini tidak dapat membezakan darjat seseorang itu, hanya ketaqwaan yang membezakan darjat kita di sisi Allah. Tepuk dada, tanya Iman~ Mari menjadi hamba yang bertaqwa.
Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, pangkat, harta, keturunan dan segala apa yang ada di muka bumi Allah ini tidak dapat membezakan darjat seseorang itu, hanya ketaqwaan yang membezakan darjat kita di sisi Allah. Tepuk dada, tanya Iman~ Mari menjadi hamba yang bertaqwa.
0 comments:
Post a Comment