Kita Sama


Di dalam kita mengemudi bahtera kehidupan, kita akan menemui saat ketika kita "diperlukan" dan kita juga akan menempuhi dan menemui saat kita "memerlukan".

Sebagai seorang mahasisiwa di dalam jurusan yang banyak melibatkan pergaulan dan berkhidmat untuk masyarakat, kehidupan sekeliling banyak mengetuk pintu hati yang selama ini mungkin terlepas pandang tentang perkara ini, dan tidak terusik dengan perasaan untuk berfikir dan akhirnya membuahkan zikir.

Walaupun masih muda untuk menulis dan mengupas sesuatu perkara,namun saya tidak melihat ianya menjadi kesalahan untuk saya memuntahkan pandangan bagi santapan kita semua. Apa yang saya ingin kupaskan mengenai perkataan "diperlukan" dan "memerlukan" ini ialah mengenai hakikat bahawa kita saling memerlukan,dan janganlah kita berasa sombong apabila kita berada di dalam status "diperlukan". Kerana satu hari kita juga akan menempuhi saat kita "memerlukan".

Sebagai contoh, apabila kita menjadi seorang perawat, ramai pesakit akan menunggu kita di luar, dengan penuh pengharapan. Pada saat itu, kita berada di dalam status "diperlukan masyarakat". Dan kita perlu ingat, satu hari nanti mungkin kita pula menjadi pesakit dan kita yang berada di ruang menunggu dengan penuh pengharapan.

Pada masa itu kita berada di dalam perasaan amat "memerlukan". Inilah hakikat kehidupan, adakala kita diperlukan dan bila masa kita diperlukan janganlah kita berasa sombong pada orang yang memerlukan kerana hakikatnya satu hari nanti kita juga akan merasa hidup penuh pengharapan dan memerlukan bantuan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah." (Riwayat Muslim)

Allahuakbar, peringatan dari pesuruh Allah ini akan benar-benar menggetarkan hati mereka-mereka yang hatinya hidup. Yakni hati yang bersedia mendengar dan menerima kebenaran. Sesungguhnya manusia diciptakan sama, yang membezakanya di sisi Allah adalah taqwa.

Seandainya segala khidmat kita kepada masyarakat tidak kiralah di dalam bidang apa kita berada dan diletakkan niat Mencari Suka Allah sebagai perkara pertama, maka bahagialah kita, dan bukan sahaja kita dapat ganjaran gaji dari majikan kita sahaja, malah kita juga akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt.

Tundukkan Hati

Sentiasalah memandang pada orang yang berada di bawah dan kurang bernasib baik, supaya hadirnya ketundukkan hati di dalam diri kita, janganlah kita berjalan di atas muka bumi Allah ini dengan penuh kesombongan. Kerana ingatlah "Di mana milik kita? Tidak ada milik kita. Semua yang ada adalah milik Allah”.

Mungkin kita berasa megah dengan pakaian-pakaian kita yang mahal. Mungkin kita berasa megah dengan kereta, rumah kita yang besar, namun ingatlah semuanya dari Allah. Bila-bila masa sahaja Dia boleh tarik.

Namun kita boleh melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesaan diri sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.

Seseorang lelaki berkata, sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan." (Riwayat Muslim)

Atuk dan Nenek yang sama

Ingatlah Allah menciptakan kita sama, kita berasal daripada Atuk dan Nenek yang sama, yakni Adam dan Hawa. Apabila kita menyedari dan mengakui kita berasal dari Atuk dan Nenek yang sama, maka haruslah juga kita mengakui kita semua adalah bersaudara.

Seorang saudara haruslah berasa senang hati dengan kesenangan yang dikecapi saudaranya. Hal ini kerana dari itulah akan hilangnya perasaan dengki di dalam hati kita dan akan timbulnya perasaan hormat menghormati antara kita dan hancurlah perasaan sombong di dalam hati kita.

Andai ini kita sedari, seandainya kita seorang CEO di sebuah syarikat yang besar sekalipun, kita akan berasa hormat kepada semua orang termasuk pekerja-pekerja yang berkerja menyapu sampah di syarikat kita. Dia memerlukan kita sebagai majikan. Kita juga memerlukan dia sebagai pekerja. Hakikatnya kita semua adalah sama. Perkara yang membezakan adalah taqwa.

Seandainya kita seorang majikan, jadilah majikan yang bertaqwa. Seandainya kita adalah pekerja, jadilah pekerja yang bertaqwa. Dan taqwa inilah menjadi sesuatu yang berharga di akhirat kelak. Segala pangkat, jawatan, pakaian kita yang mewah hanya menemani kita di dunia sahaja.

Namun amalan yang disertai taqwa, akan menemani kita sehingga ke alam akhirat. Segala apa bentuk kerja baik yang diniatkan kerana Allah bukan sahaja mendapat habuan dunia darinya, malah kita juga mendapat ganjaran pahala dari-Nya.

Mudah-mudahan artikel serba ringkas ini dikurniakan ikhlas, dijauhkannya riya’, ujub dan sum’ah.

Seterusnya menjadi ilmu yang memberi manfaat dan diambil manfaat yang berterusan ,yang menjadi teman ketika berseorangan di kubur, dan keberkatan untuk kedua ibu bapa, keluarga dan guru-guruku yang dikasihi.

Amin.

Glossari:

1. Riya'- Melakukan sesuatu perkara untuk mendapat pujian dari manusia

2. Ujub- merasa diriya lebih baik dari orang lain.

3. Sum'ah- Beramal agar diketahui oleh manusia.

sumber: iluvislam

3 Muharram 1432 H

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 20009-2012 Seventh Generation: Kita Sama
Design by aisyah ameelah ghariib